Menimba pengalaman di back pakers

May 21, 2009 – 4:16 pm

Tertarik dengan konsep back pakers di New Zealand. Ia adalah buget hotel yang terdapat di New Zealand. Penginapan dengan perbagai kemudahan disediakan untuk pengunjung cukup popular disini. Dengan kadar bayaran $30 NZD hingga $70 NZD semalam untuk seorang anda akan mendapat segala kemudahan yang disediakan. Pengunjung disediakan dapur untuk memasak makanan sendiri dengan segala peralatan disediakan. Anda hanya perlu membeli bahan mentah untuk memasak, makanan kegemaran anda. Tidak ada masalah jika anda terlebih membeli barang dapur kerana pihak back packers menyediakan peti sejuk dan rak yang mencukupi untuk anda menyimpannya. Pergaulan dengan berbagai bangsa dan agama cukup menyeronokan. Anda tidak perlu risau tentang halal haram. Orang Islam boleh bawa sabun samak (tanah) untuk menyamak peralatan masak sebelum anda menggunakannya.

Walaupun pengunjung terpaksa berkongsi tandas dan bilik air kerana didalam bilik tidak disediakan bilik air. Namun begitu bilik air mereka cukup bersih. Masing-masing bertanggungjawab menjaga kebersihan bilik air tersebut. Dalam tandas tidak disediakan air, hanya tisu kertas sahaja disediakan. Ini tidak menjadi masalah kerana Islam juga mengajar bagaimana untuk kita beristijak. Yang menjadi masalah ialah kerana kita tidak pernah mengamalkannya. Walaupun tiada air kebersihannya jauh lebih baik dari tandas surau dan mesjid ditempat kita. Sedangkan islam mengajar bahawa kebersihan itu sebahagian daripada iman.

Untuk anda menghubungi saudaramara yang jauh tidak menjadi masalah kerana semua back pakers menyediakan kemudahan internet dengan kadar yang berpatutan. Begitu juga dengan kemudahan yang lain seperti TV dan indoor game disediakan untuk pengunjung. Bagi anda yang ingin membasuh pakaian mesin basuh dan mesin pengering disediakan.

Pendek kata menginap di back pakers tak ubah seperti menginap dalam sebuah rumah yang didiami oleh sebuah keluarga yang besar, terdiri dari berbagai kaum dan bangsa. Saya ingin sekali lagi menimba pengalaman tersebut dengan berpindah ke back pakers mulai 28 mei akan datang. Sesungguhnya pengalaman itu adalah guru yang terbaik untuk kita. Tiada universiti yang paling unggul melainkan universiti pengalaman.


You must be logged in to post a comment.